Popular Posts This Week

Saturday 24 November 2012

Skuad Raja sasar dua misi



Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya ada dua misi penting apabila turun memulakan kempen mempertahankan Piala Suzuki AFF menentang Singapura malam esok - mencatat kemenangan sekali gus memperbaiki rekod pertemuan yang tidak memihak kepada mereka. 

Jurulatih negara Datuk K Rajagobal berkata, walaupun Singapura tidak terlalu memberi tumpuan kepada cabaran bakal diberikan anak buahnya, dia tetap mahu pemain memberi persembahan terbaik mencatat kemenangan dan memperbaiki rekod pertemuan sebelum ini. 
Dalam 12 pertemuan terakhir antara kedua negara, termasuk dua perlawanan timbal balik kelayakan Piala Dunia 2014 tahun lalu, Malaysia sekadar menang sekali dan seri lima kali. 

Cari keputusan positif

“Kita lupakan dulu soal mempertahankan kejuaraan, yang penting ialah melepasi halangan pertama bertemu Singapura dengan keputusan positif,” kata Rajagobal.

“Perlawanan pertama cukup penting dalam satu-satu kejohanan dan pemain perlu memberikan fokus penuh seperti menghadapi final.

“Saya yakin selepas aksi kurang menentu pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, pemain akan bangkit mempamerkan corak permainan sebenar mereka.” 
Rajagobal bagaimanapun mengakui perlawanan pertama Kumpulan B itu sebagai satu lagi pertemuan tetangga antara Malaysia dan jiran sebelah tambaknya itu.

Walaupun skuad kendaliannya turun sebagai juara bertahan, Rajagobal berpendapat, Singapura tetap mempunyai kelebihan berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini.

"Mereka mempunyai pemain berpengalaman terutama pemain tonggak yang menjadi ‘duri dalam daging’ buat skuad negara ketika saingan kelayakan Piala Dunia tahun lalu," katanya


Wednesday 14 November 2012

NS wujudkan Akademik Bola Sepak

Seremban – Pembangunan Bola Sepak Peringkat Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah diberhentikan dan ditukar kepada Akademik Bola Sepak Negeri Sembilan bermula tahun depan.

Akademik Bola Sepak ini bakal memilih 30 orang pemain yang berpotensi di antara umur 16 hingga 17 tahun yang akan ditempatkan di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

30 orang yang terpilih kelak, mereka akan di hantar bersekolah di sekitar kawasan Seremban untuk sesi persekolahan.

Sementara akan melalui jadual latihan yang padat di sebelah petang, manakala sebelah malamnya pula akan menjalani kelas tuisyen.

Menurut Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, juga Presiden Bola Sepak Negeri Sembilan, “ini merupakan hasrat kita untuk mencungkil bakat baru dan PBNS akan bekerjasama dengan YNS dalam usaha ini.”

Pada pemilihan yang dibuat, tidak kurang dari 1000 orang pemain menjalani sesi pemilihan akedemik.

Malah, PBNS juga telah mengenal pasti tenaga pengajar dari Portugal, Acacio Machado Dimas Marques Santos yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang amat baik sekali di dalam industri pembangunan bola sepak.

Dengan perlantikan beliau sebagai tenaga pengajar ini, bakat yang ada pada pemain-pemain muda dapat diasah dengan sebaik mungkin seterusnya mutu bola sepak negeri ini berada dalam tahap baik.

Kata Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan lagi, pengumuman FAM mengembalikan Liga Piala Belia bertepatan dengan arena bola sepak yang kian membangun.

Justeru, peserta Akademik Bola Sepak Negeri Sembilan akan terdedah dengan perlawanan Liga Piala Belia ini.

Peserta Akademik Bola Sepak Negeri Sembilan diberi keutamaan kepada anak negeri ini dan akan mendapat elaun saraan RM100 sebulan di samping pembelajaran ditanggung sepenuhnya oleh PBNS dengan kerjasama YNS.

Menyentuh tentang pemain import bagi mewakili pasukan Negeri Sembilan 2013 pula, beliau menegaskan akan membawa masuk pemain yang lebih baik dari sedia ada dan mampu bermain bersungguh-sungguh untuk pasukan.

Seperti biasa, PBNS akan lebih serius memilih penyerang dan pertahanan untuk memeriahkan musim 2013 dengan penuh gaya.

sumber : N9KINI

Wednesday 7 November 2012

Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang miliki ijazah akan dilantik ke gred DG41

SEREMBAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru cemerlang, guru besar cemerlang dan pentadbir cemerlang yang memiliki ijazah akan dilantik ke gred DG41 tanpa temuduga tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan melantik secara terus tanpa temu duga calon guru yang berprestasi cemerlang selepas menamatkan pengajian perguruan bermula tahun depan.

Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di Hotel Royale Bintang, di sini, sebentar tadi.

sumber : bharian

Andik calon ganti Owona


PENYERANG sensasi kelab Indonesia, Persebaya FC, Andik Vermansyah disebut-sebut import terbaru yang bakal memperkuatkan pasukan Negeri Sembilan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Andik, pemain lincah berusia 22 tahun dari Surabaya pernah memperagakan aksinya di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada perlawanan persahabatan antara kelabnya dengan Negeri Sembilan pada Mac lalu dan dijangka menjadi pilihan ketua jurulatih baru, Divaldo Elves.

Elves, bekas pengendali Persebaya FC kelahiran Portugal, dijangka membawa penyerang berbisa itu sebagai tonggak barisan depan Negeri Sembilan selepas skuad Hoben Jang Hoben kehilangan penyerang import kelahiran Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona yang berpindah ke Terengganu.

Andik yang dianggap jelmaan ‘Messi’ Indonesia, adalah antara tonggak utama Persebaya FC yang membantu menjulang nama pasukan itu kerana kelincahannya selain memiliki skil individu tinggi meskipun bertubuh kecil.

“Namanya memang antara pemain import yang ada dalam senarai pengurusan pasukan namun keputusan sama ada dia terpilih beraksi dengan Negeri Sembilan belum dapat dipastikan kerana perbincangan dengan majikan Andik masih dijalankan. Ini kerana pemain itu juga mendapat perhatian sebuah kelab dari Timur Tengah.

“Jika Andik beraksi dengan Negeri Sembilan, saya yakin dia mampu membantu merealisasikan sasaran pasukan,” kata sumber pasukan itu, semalam.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka akan mengambil sekurang-kurangnya dua pemain import, masing-masing di posisi penyerang dan pertahanan bagi menggantikan Effa Owona dan Marian Farbak yang kontrak mereka tidak diperbaharui.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, perbincangan dijalankan antara PBNS dengan ejen pemain namun pihaknya tidak mahu terburu-buru mengambil pemain import sebelum diuji secukupnya.


Sementara itu, bekas pemain Kedah dan Perlis, Mohd Fauzi Nan adalah antara pemain tempatan luar yang menyarung jersi Negeri Sembilan musim depan.

Pemain berasal dari Pendang, Kedah berusia 32 tahun itu mengikut jejak Eddy Helmi Manan dari Johor FC, Azmeer Yusof (Pos Malaysia), Hamsani Ahmad dan Abd Ghani Abd Rahman (Felda United) yang akan menggalas cabaran Negeri Sembilan dalam misi mempertahankan reputasi serta memburu pencapaian lebih gemilang bagi musim 2013.

Premis judi siber kena serbu

Operasi yang diadakan berjaya menahan lima orang.



SEREMBAN – Ketika sedang asyik bermain judi, empat lelaki termasuk seorang wanita warga asing terkejut apabila premis tersebut diserbu pihak berkuasa dalam serbuan Ops Judi Siber yang diadakan di Taman Megaway, Sikamat, malam kelmarin.

Turut ditahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 20-an yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri (Jheains), Ahmad Husaini Mustafa berkata, kesemua yang ditahan beragama Islam, dan terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40-an.

Katanya, operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam itu, diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa, Ahmad Zaki Hamzah serta sembilan anggota dan pegawai Jheains.

“Serbuan ini dijalankan berikutan aduan orang awam dan ibu bapa yang tinggal di sekitar kawasan ini, yang mengadu bahawa anak mereka suka berkunjung di premis tersebut.

“Hasil risikan yang dilakukan selama tiga hari, kita akhirnya berjaya menahan mereka yang dipercayai pemain tegar di premis berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, premis berkenaan dipercayai beroperasi secara haram sejak setahun lalu, berikutan tiada sebarang lesen perniagaan berjaya ditunjukkan oleh wakil premis,” katanya.

Pada serbuan tersebut, sebanyak tujuh komputer dan wang tunai RM180 serta beberapa peralatan kamera litar tertutup dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Unit Penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 79 (A) (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004.

Jelasnya, operasi sebegini akan dilakukan dari masa ke semasa, bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada umat Islam agar tidak terjebak dengan kegiatan yang melanggar akidah ini.