Popular Posts This Week

Wednesday, 7 November 2012

Andik calon ganti Owona


PENYERANG sensasi kelab Indonesia, Persebaya FC, Andik Vermansyah disebut-sebut import terbaru yang bakal memperkuatkan pasukan Negeri Sembilan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Andik, pemain lincah berusia 22 tahun dari Surabaya pernah memperagakan aksinya di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada perlawanan persahabatan antara kelabnya dengan Negeri Sembilan pada Mac lalu dan dijangka menjadi pilihan ketua jurulatih baru, Divaldo Elves.

Elves, bekas pengendali Persebaya FC kelahiran Portugal, dijangka membawa penyerang berbisa itu sebagai tonggak barisan depan Negeri Sembilan selepas skuad Hoben Jang Hoben kehilangan penyerang import kelahiran Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona yang berpindah ke Terengganu.

Andik yang dianggap jelmaan ‘Messi’ Indonesia, adalah antara tonggak utama Persebaya FC yang membantu menjulang nama pasukan itu kerana kelincahannya selain memiliki skil individu tinggi meskipun bertubuh kecil.

“Namanya memang antara pemain import yang ada dalam senarai pengurusan pasukan namun keputusan sama ada dia terpilih beraksi dengan Negeri Sembilan belum dapat dipastikan kerana perbincangan dengan majikan Andik masih dijalankan. Ini kerana pemain itu juga mendapat perhatian sebuah kelab dari Timur Tengah.

“Jika Andik beraksi dengan Negeri Sembilan, saya yakin dia mampu membantu merealisasikan sasaran pasukan,” kata sumber pasukan itu, semalam.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka akan mengambil sekurang-kurangnya dua pemain import, masing-masing di posisi penyerang dan pertahanan bagi menggantikan Effa Owona dan Marian Farbak yang kontrak mereka tidak diperbaharui.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, perbincangan dijalankan antara PBNS dengan ejen pemain namun pihaknya tidak mahu terburu-buru mengambil pemain import sebelum diuji secukupnya.


Sementara itu, bekas pemain Kedah dan Perlis, Mohd Fauzi Nan adalah antara pemain tempatan luar yang menyarung jersi Negeri Sembilan musim depan.

Pemain berasal dari Pendang, Kedah berusia 32 tahun itu mengikut jejak Eddy Helmi Manan dari Johor FC, Azmeer Yusof (Pos Malaysia), Hamsani Ahmad dan Abd Ghani Abd Rahman (Felda United) yang akan menggalas cabaran Negeri Sembilan dalam misi mempertahankan reputasi serta memburu pencapaian lebih gemilang bagi musim 2013.

Premis judi siber kena serbu

Operasi yang diadakan berjaya menahan lima orang.



SEREMBAN – Ketika sedang asyik bermain judi, empat lelaki termasuk seorang wanita warga asing terkejut apabila premis tersebut diserbu pihak berkuasa dalam serbuan Ops Judi Siber yang diadakan di Taman Megaway, Sikamat, malam kelmarin.

Turut ditahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 20-an yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri (Jheains), Ahmad Husaini Mustafa berkata, kesemua yang ditahan beragama Islam, dan terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40-an.

Katanya, operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam itu, diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa, Ahmad Zaki Hamzah serta sembilan anggota dan pegawai Jheains.

“Serbuan ini dijalankan berikutan aduan orang awam dan ibu bapa yang tinggal di sekitar kawasan ini, yang mengadu bahawa anak mereka suka berkunjung di premis tersebut.

“Hasil risikan yang dilakukan selama tiga hari, kita akhirnya berjaya menahan mereka yang dipercayai pemain tegar di premis berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, premis berkenaan dipercayai beroperasi secara haram sejak setahun lalu, berikutan tiada sebarang lesen perniagaan berjaya ditunjukkan oleh wakil premis,” katanya.

Pada serbuan tersebut, sebanyak tujuh komputer dan wang tunai RM180 serta beberapa peralatan kamera litar tertutup dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Unit Penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 79 (A) (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004.

Jelasnya, operasi sebegini akan dilakukan dari masa ke semasa, bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada umat Islam agar tidak terjebak dengan kegiatan yang melanggar akidah ini.